Isu dan tengkarah Penghulu Naning

Perebutan jawatan (2011-2013)

Rencana ini tidak memetik apa-apa sumber atau rujukan. Sila bantu dalam memperbaiki rencana ini dengan menambahkan rujukan ke sumber-sumber yang boleh dipercayai. Bahan yang tidak disahkan mungkin akan dipertikai dan dipadam. (Julai 2023) (Ketahui cara dan masa untuk membuang pesanan templat ini)

Pada tahun 2011, Dato' Abdul Latif Hashim (DN19) telah didapati bersalah kerana melanggar peraturan-peraturan adat oleh Ahli Lembaga Adat Naning (LAN) dan LAN telah bertindak menggugurkan posako beliau selepas Kerajaan Negeri Melaka bertindak menarik semua elaun serta kemudahan Penghulu Naning. Perbuatan Kerajaan Negeri Melaka yang bertindak menyita Balai Rasmi Naning di Bukit Seri Naning, Simpang Ampat menambahkan lagi kemarahan LAN dan penduduk setempat. Pengguguran Dato' Abdul Latif Hashim adalah sah disisi adat kerana berteraskan togak penghulu dek bulat lembago, bulat air togah dek gopong, bulat manusio togah dek bosilang, bapak segala adat berani, ibu segalo adat muafakat, bulat muafakat mako gugurlah adat.

Selepas pengguguran Dato' Abdul Latif Hashim sebagai Penghulu Naning maka pihak LAN telah bermusyawarah dan setuju memberikan posako Orang Kaya Seri Raja Merah kepada perut pertama suku Semelenggang Taboh iaitu mengangkat Dato' Mohd Salleh bin Md Som (DN20) pada tahun 2012. Pada tempoh yang sama, terdapat perebutan posako daripada sebahagian pihak daripada suku Semelenggang Naning yang menyatakan mereka berhak untuk mendapatkan kembali posako Orang Kaya Seri Raja Merah kerana parit persumpahan telah pun bersobon (terkambus). Oleh itu, kumpulan suku Semelenggang Naning telah mengangkat Dato' Azis bin Maulod sebagai Penghulu Naning ke-20 tetapi pemilihan ini tidak direstui oleh LAN kerana Dato' Azis bukannya keturunan asli suku Semelenggang Naning namun hanya orang semondo (orang luar yang berkahwin dengan anak tempatan) sahaja. Perlantikan Dato' Azis menyebabkan Dato' Abu @ Hussein menentang keras tindakan ini kerana posako Orang Kaya Seri Raja Merah harus disandang oleh mereka yang berketurunan dan bersusur-galur daripada Penghulu-penghulu Naning terdahulu.

Selepas setahun memerintah, LAN sekali lagi menggugurkan posako Penghulu Naning daripada Dato' Mohd Salleh bin Md Som setelah mendapati beliau bersalah dalam menyalahgunakan kuasa sebagai Penghulu Naning. Setelah bermusyarah, LAN telah memilih Dato' Nordin Abd Jalil daripada perut kedua suku Semelenggang Taboh sebagai penyandang posako Orang Kaya Seri Raja Merah. Pada 11 Oktober 2013, Dato' Nordin telah dikerjankan (ditabal) secara rasmi sebagai Penghulu Naning ke-21 di Masjid Taboh Naning, Simpang Ampat. Namun, perlantikan Dato' Nordin ditentang sebilangan besar orang tua Adat Naning lalu mengambil keputusan untuk memulaukan majlis berkenaan. Selepas beberapa lama menjawat jawatan Penghulu Naning, Dato' Abu @ Hussein telah menabalkan dirinya sebagai Penghulu Naning dengan memakai gelaran DYMM Orang Kaya Seri Maharaja Merak atas sokongan bekas setiausaha sulit DN19 Dato' Seri Adam Malek. Dato' Abu Hussein telah menabalkan dirinya sebagai Penghulu Naning di Pagar Ruyong. Pergolakan ini semakin keruh apabila Dato' Jamil Sidi daripada perut ketiga (bekas Dato' Paduka Seri Syahbandar DN19) telah mengaku sebagai Penghulu Naning ke-19** dan membentuk ahli lembaga adatnya sendiri. Pada 27 April 2016, pihak polis telah menahan Dato Nordin kerana disabitkan kesalahan menipu Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menjual pingat kebesaran.

Sehingga kini terdapat 6 orang telah mengaku sebagai Penghulu Naning @ Dato' Naning; 4 daripada mereka adalah daripada suku Semelenggang Taboh (2 orang perut pertama, seorang dari perut kedua, seorang daripada perut ketiga) dan 2 orang daripada suku Semelenggang Naning. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri Melaka tidak mengiktiraf mana-mana Dato' Naning dan akan meminda akta yang berkaitan dengannya.